
Yandy Laurens berhasil mengarahkan satu lagi filem kekeluargaan yang menyentuh hati selepas Keluarga Cemara. Filem ini bergerak melalui watak Moko, yang diasak bertubi-tubi oleh takdir yang menghentam, mengubah realiti hidupnya seawal cerita sehingga terpaksa menjadi ayah dan ibu kepada anak-anak saudaranya yang baru kehilangan ibu dan bapa mereka.
Moko adalah salah satu contoh manusia yang tersepit menggalas beban tanggungjawab (atau bahasa pop’nya’ sandwich generation). Filem ini memilih untuk membentuk watak Moko yang dalam segala kacau-bilau kehidupannya dan pandangan-pandangan kosong yang sengaja dipaparkan melalui shot-shot dekat sepanjang filem, masih dengan tenang menjalani hidup.
Ada beberapa hal realistis yang dipaparkan sepanjang filem, yang boleh saja di’fiksyen’kan untuk memenangkan hidup Moko tetapi jalan cerita ditulis sebaliknya, seakan-akan menghukum, mentertawakan, dan menyedarkan Moko yang hidup tidak seindah di filem-filem.
Filem ini turut diserikan dengan beberapa watak lain disekeliling hidup Moko seperti Maurin, Ano, Nina, Woko, Ais. Dengan kepelbagaian watak yang ada, ianya berisiko untuk kehilangan fokus dalam mengembangkan setiap watak. Akan tetapi, keunikan dan dinamik penulisan setiap watak membantu memberi warna untuk setiap watak yang ada. Warna-warna ini membantu menggerakkan cerita tanpa perlu babak-babak yang dibuat berlebihan atau terlalu memaksa untuk meningkatkan ‘melodrama’nya.
Salah satu kekuatan Yandy Laurens yang dapat dilihat melalui filem-filemnya yang terdahulu adalah dalam membentuk para pemain untuk masuk ke dalam karakter yang diperan. Hal yang sama dapat dilihat melalui 1 Kakak 7 Ponakan apabila menerusi Moko, Maurin, Ano, Nina, Woko dan Ais, kita hampir terlupa tentang Chico, Amanda Rawles, Freya, Fatih Unru, Nadif dan Kawai Labiba sepanjang perjalanan filem. Yandy berjaya membentuk keserasian antara para pelakon sehingga paparan sebuah keluarga dengan segala hal-hal besar dan kecil yang hadir didalamnya kelihatan natural.
Antara hal yang paling saya gemari melalui filem ini adalah interaksi-interaksi kecil antara watak-watak didalamnya yang ditulis dengan jujur, seakan refleksi kepada interaksi-interaksi kecil yang pernah kita lihat atau lalui dalam kehidupan seharian. Ada satu babak dimana watak-watak utama didalam filem ini berkumpul di satu ruang sambil menyanyikan lagu Jangan Risaukan. Untuk seketika, ruang dan waktu berhenti dan segala keluh kesah duniawi hilang ditelan lirik-lirik berbaur harapan yang sedang didendangkan diiringi ketikan piano. Dengan shot jarak jauh statik yang menangkap kesemua watak dalam satu frame, babak ini terasa sangat magikal.
Konflik-konflik didalam filem ini tidak terlalu mencengkam (baik atau buruk tergantung kepada penerimaan penonton) kerana rasa positif yang dibawa oleh karakter-karakter utamanya seperti Moko dan juga Maurin (dunia sememangnya akan baik-baik sahaja jika semua lelaki mempunyai seorang Maurin dibelakangnya).
Pemilihan gaya penceritaan positif ini sebenarnya unik jika dibandingkan dengan gaya penceritaan filem-filem melodrama ‘hidup adalah tragedi’ dari Indonesia mutakhir ini seperti Nanti Ku Ceritakan Hari Ini atau filem-filem tipikal dari Sinemaku Pictures (seperti Bolehkah Sekali Saja Ku Menangis). Ditengah-tengah kebanjiran filem-filem melodrama yang karakter utamanya separuh mati menghadapi takdir dengan permasalahan dan segala konflik yang diperbesar-besarkan, 1 Kakak 7 Ponakan dengan segala kecelakaan yang dihadapi Moko tetap terasa nyaman dan menenangkan, seakan memberi gambaran yang seberapa rumit hidup, keadaan akan tetap baik baik saja.
Ada beberapa kekurangan kecil filem ini antara perkembangan watak-watak seperti Moko dan Maurin yang ditulis hampir tanpa cacat cela. Perkembangan watak-watak ponakan disekeliling mereka juga terasa tidak mencukupi walaupun dengan durasi selama 2 jam. Beberapa watak cameo yang diselitkan didalam filem ini juga terasa tidak perlu dan tidak membantu jalan cerita. Tetapi hal-hal kecil ini dapat dimaafkan kerana pada akhirnya filem ini dibikin untuk memberi pengalaman menonton yang menghangatkan.
Yandy Laurens menyatakan bahawa dia mengambil inspirasi dari filem-filem Kore-eda dalam menghasilkan filem dan sejujurnya walaupun estetika filem ini mungkin dipengaruhi filem-filem Kore Eda, tetapi 1 Kakak 7 Ponakan dipersembahkan dengan warna dan rasa yang penuh pengharapan mengikut acuan dan cap mohor Yandy Laurens yang dapat kita lihat melalui filem-filemnya sebelum ini.