
” Jangan rindu. Berat. Kamu nggak akan kuat, biar aku saja. “
.
16 tahun lepas, satu filem cinta remaja pernah menyelamatkan industri filem indonesia yang dilihat telah mati (sepanjang 90an sehingga awal 2000, industri filem Indonesia mengalami zaman kejatuhan yang paling buruk dalam sejarah apabila hanya 2 hingga 3 filem dihasilkan setahun dan kebanyakannya bertemakan seks. Zaman ini sehingga hari ini digelar sebagai zaman kematian suri oleh pemerhati filem Indoensia) . Filem tersebut, bersama dengan filem Petualangan Sherina selamanya akan dikenang sebagai dua buah filem yang memberi nafas baru sekaligus menghidupkan kembali industi perfileman Indonesia. Demikianlah hebatnya cinta, mampu menghidupkan industri yang telah mati. Maka janganlah ditanya Ada Apa Dengan Cinta (pun intended).
16 tahun selepas Ada Apa Dengan Cinta, kita dihidangkan dengan Dilan 1990, satu lagi filem percintaan remaja di SMA dimana watak utamanya seorang lelaki yang suka berpuisi (tinggi betul market mat puisi di Indonesia) . Seperti AADC, Dilan 1990 juga dilihat sebagai filem ‘penanda’ dekad ini apabila berjaya mengumpul lebih 6 juta penonton selepas tayangannya menjadikan ia filem kedua terlaris sepanjang zaman di Indonesia.
Persoalannya apa yang menarik tentang filem percintaan remaja ini sehingga berjaya menarik sebegitu ramai penonton ke pawagam? Jawapannya mudah, ini adalah sebuah filem tentang kita. Kita semua pernah muda, bertenaga dan meraikan cinta sebagaimana Dilan dan Milea meraikan cinta tanpa sebarang prejudis. Dilan dan Milea jatuh cinta tanpa dan meraikan cinta sebagai cinta, dan hanya cinta. Milea misalnya, menolak tepi semua aspek buruk tentang Dilan yang digambarkan sebagai seorang remaja liar dan sering menimbulkan masalah. Cinta di usia itu sangat jujur dan naif, usia dimana kebanyakan dari kita belum disedarkan dengan realiti kehidupan. Kita belum diajar memilih cinta berdasarkan pekerjaan dan gaji seseorang kerana cinta tak mampu memberikan sesuap nasi. Kita belum diajar tentang cinta yang datang dengan komitmen untuk berkahwin kerana ikatan perkahwinan itu dilihat sebagai pelengkap hubungan cinta. Cinta pada ketika itu hanyalah tentang menghabiskan masa bersama pada setiap masa terluang. Semua orang bisa merasai dan memahami filem ini, kecuali lah kalau kau tak pernah bercinta dan melalui pengalaman cinta remaja, kesian.
Tidak seperti Ada Apa Dengan Cinta (maaf, aku tidak dapat lari dari membandingkan dua filem ini kerana tema yang serupa diguna pakai oleh kedua duanya), Dilan 1990 jauh lebih ringan. Falsafah filem ini tidak seberat AADC dengan dialog dialog yang lebih santai. Watak Dilan juga bukanlah penggemar puisi yang deep dan menyendiri seperti Rangga, malah Dilan digambarkan sebagai seorang bad boy yang mempunyai ramai peminat. Premis filem ini mudah, seorang pelajar lelaki jatuh cinta dengan pelajar baru disekolahnya. Premis semudah ini berisiko untuk menjadikan sesebuah filem itu klise tapi tidak buat filem Dilan 1990. Filem ini digerakkan dengan dialog dialog yang walaupun santai, dimainkan dengan baik oleh Vanseha Prescilla dan Iqbaal Ramadhan yang memeran watak Dilan dan Milea. Setiap babak antara mereka sangat dinamis, dengan pertukaran pertukaran dialog yang menghiburkan. Serius, watak Dilan dan Milea kalau jatuh ke tangan pelakon yang salah akan menjadikan filem ini satu lagi filem cinta remaja yang kosong dan membosankan.
Aku kurang arif tentang latar tempat dan masa yang digunapakai filem ini iaitu Bandung pada tahun 1990 tetapi filem ini berjaya meyakinkan aku tentang begitu lah Bandung pada tahun 1990, dengan elemen ‘ pop art ‘ dan isu isu remaja yang diselitkan di celah celah plot filem ini ‘kena’ dan tidak canggung. Cuma terdapat beberapa benda yang belum wujud pada tahun 1990 terselit dalam filem ini yang mencacatkan faktor realism tapi ia tidaklah begitu ketara dan boleh dimaafkan.
Kesimpulannya filem Dilan 1990 merupakan sebuah filem yang harus ditonton oleh semua orang yang pernah melalui zaman remaja. Filem ini menjual nostalgia yang kita semua pernah rasai dan mengajak kita untuk duduk menonton dan mengimbau kembali betapa jujur, nafi dan mudahnya cinta pada waktu itu. Selama dua jam, penonton akan kembali kepada waktu persekolahan dan merasai dan mengenang kembali betapa hangat membaranya semuanya termasuk cinta ketika kita muda remaja. Filem Dilan 1990 ditayangkan di beberapa wayang TGV ketika ini, tonton selagi masih berpeluang dan percayalah, kau tak akan menyesal.
Psst: Aku nak berbincang dengan pegawai pemasaran yang membawa masuk filem Indonesia ke sini. Kenapa filem sebagus ini kurang promosi? Sama halnya dengan filem Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak.