
Entah bagaimana agaknya perasaan ketika manusia pertama kali menonton tayangan gambar bergerak (yang sebenarnya hanya adegan seorang lelaki menonton kuda) pada tahun 1878. Dari saat itu, kita diperkenalkan dengan magis baru berbentuk filem yang mampu menceritakan apa saja di layar skrin.
Beratus tahun kemudian, pada era di mana manusia boleh mengkonsumi media di mana saja hatta melalui skrin sekecil tapak tangan, kebanyakan filem tak lebih dari sekadar hiburan yang ditonton selama beberapa jam dan kemudiannya akan dilupakan.
Panggung wayang yang sepatutnya menjadi tempat sakral untuk mengekalkan pengalaman sinema sebenar pula hanya menjadi ruang para kapitalis filem yang berlumba-lumba menghasilkan filem blokbuster dengan formula sama, berulang-ulang dan membosankan.
Lalu muncul Imaginur, mengingatkan kita tentang magisnya sinema.
Menonton Imaginur adalah satu pengalaman sinema yang mengujakan. Mungkin siapa yang selalu menonton filem sudah boleh mengagak hala tuju filem ini seawal pertengahan cerita tetapi filem ini mengalir dengan tujuan untuk dinikmati dan dirasai, bukan untuk diduga dan dirungkai setiap persoalannya.
Imaginur bergerak secara non-linear, seakan-akan putaran memori yang melompat-lompat dari satu peristiwa ke satu peristiwa yang lain secara rawak.
Watak Zuhal dibawa ke titik mula berulang kali, seakan kisah Sissyphus yang kembali jatuh ke bawah (dihukum Hades) setiap kali dia hampir sampai ke puncak. Tetapi Zuhal, mengambil falsafah Camus yang melihat kisah Sissyphus ini bukanlah satu bentuk hukuman tetapi sebenarnya gambaran tentang hidup, pada akhirnya menerima baik buruknya kehidupan melalui fragmen memori yang dilewatinya berulang-ulang.
Zuhal boleh saja memilih jalan keluar dengan ‘mati’ dalam proses ‘menolak batu keatas dan jatuh’ berulang kali ketika dia cuba mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul tetapi dia memilih untuk akhirnya menghargai hidup lalu bangun dan mendapatkan dirinya kembali setelah terjaga.
Saya memetik buku tulisan Albert Camus itu kerana saya percaya penulis skrip filem ini sedikit sebanyak terpengaruh dengan idea dan falsafah tentang ‘absurdity of life’ yang ditulis oleh Albert Camus dan saya tidak dapat lari dari melihat bayangan Sissyphus (yang dihukum Hades) dalam diri Zuhal yang dihukum Tuhan dengan penyakit yang dialaminya.
Dari segi teknikal, Imaginur adalah sebuah filem yang cantik. Filem seperti ini harus ditonton di layar lebar, dengan sistem bunyi dan pencahayaan yang baik supaya boleh dirasai semaksimal mungkin. Babak-babak sunyi tanpa sebarang bunyi dalam Imaginur adalah contoh magis sinema yang jarang kita dapat dalam era dimana filem harus dibikin sebingit dan se’gempar’ mungkin.
Filem ini mengingatkan kita – ditangan pembikin filem yang jujur, filem tidak akan terasa seperti sebuah formula berulang-ulang yang hanya memberikan keseronakan sementara dan dibikin untuk menebalkan kantung poket kapitalis seni.