
Hikayat Layla & Majnun adalah salah satu kisah cinta agung antara Qays bin Al-Mulawwah dan Laila Al-Amiriyah. Kisah cinta tragis yang begitu mahsyur dalam kebudayaan Arab ini menggambarkan betapa dahsyatnya kuasa cinta, sehingga boleh menghilangkan waras sang pencinta. ‘Majnun’, gelaran yang diberi terhadap Qays itu sendiri bermaksud gila. Seperti mana banyak kisah cinta agung yang lain, kisah Qays dan Layla berakhir dengan tragedi.
Qays dan Layla mungkin menghembuskan nafas tanpa mampu mendakap cinta mereka namun kisah cinta mereka terus kekal diperdengarkan dari generasi ke generasi dan Monty Tiwa mengangkat kembali kisah ini dalam satu lagi adaptasi ringan Hikayat Layla & Majnun. Sejujurnya aku hanya pernah menonton dua buah tangan dari pengarah Indonesia ini (Critical Eleven dan Sabtu Bersama Bapak) walaupun Monty Tiwa melalui daftar filemnya boleh dikira seorang pengarah yang agak prolifik. Melalui Layla & Majnun, Monty Tiwa mengadun kisah agung tersebut dalam versinya sendiri tanpa terlalu mengikut kisah asal.
Menonton Layla & Majnun seperti melalui satu pengembaraan mengenal cinta. Seawal dari babak pertama Layla (sewaktu kecil) sudah merasai sakitnya kehilangan apabila ayahnya ditemui mati. Kita kemudiannya dibawa menyusuri watak Layla dari saat dia dilamar Ibnu sehinggalah pertemuannya dengan Samir di Azebairjan.
“Katakan kepadaku, siapa orang yang bisa bebas, dari penyakit cinta” – Samir
Layla dan Samir akhirnya tidak mampu untuk menolak untuk jatuh cinta. Terdapat beberapa perkara yang aku suka tentang filem ini seperti cubaan Monty Tiwa mengangkat sastera Indonesia melalui Layla Majnun. Filem Indonesia tidak pernah gagal dalam hal ini dan aku secara jujurnya banyak mengenal sastera sastera Indonesia melalui filem filem mereka sedari kali pertama aku mengenal Chairil Anwar melalu filem Ada Apa Dengan Cinta.
Selain itu, filem ini sememangnya filem yang cantik ditambah dengan sinematografi yang memaparkan keindahan kota Baku sehingga kita percaya kota itu sebuah kota yang romantis. Babak babak di kota Baku dengan dialog dialog yang kuat cukup untuk menutup kekurangan kekurangan filem ini. Dialog dialog ini dibantu dengan petikan dari Hikayat Laila Majnun itu sendiri yang sememangnya indah terutamanya dalam membicarakan soal cinta. Babak dimana Samir meluahkan cinta melalui dinding kepada Layla merupakan garapan yang baik untuk menterjemahkan kisah Qays dalam cerita asal.
Dalam kebanyakan babak, dialog dialog filem ini digerakkan dengan lakonan mantap dari barisan pelakon yang terdiri dari Acha Septriasa, Reza Rahadian dan Uli Herdinansyah. Walaupun ada beberapa babak yang agak janggal, Reza berjaya meyakinkan aku yang dia adalah seorang lelaki Azerbaijan melalui watak Samir. Obsesi Samir terhadap Layla berjaya diterjemahkan Reza melalui bahasa tubuh dan eksperesi wajah Samir dalam setiap babaknya Bersama Layla (yang aku kira kadang kadang kelihatan agak psiko tapi Samir itu sendiri melalui Qays dalam hikayat asal sememangnya digelar ‘majnun’ atau gila kerana obsesinya terhadap Layla). Acha adalah Acha dan dia berjaya membawa Layla walaupun dengan segala dinamik kecelaruan halatuju sifat dan perwatakan watak tersebut.
Filem ini tidak lari dari beberapa kekurangan yang mengganggu aku contohnya dari segi garis masa dalam jalan cerita filem ini bila mana watak Layla terlalu mudah jatuh cinta dengan Samir walaupun usia pertemuan mereka baru beberapa hari. Ya, jatuh cinta memang mudah tetapi cinta yang baru berusia beberapa hari secara logik akalnya tidaklah sebegitu dahsyat sehingga mampu melumpuhkan jiwa dan raga manusia seperti kesannya terhadap Layla. Logik ini aku boleh tolak bila menghakimi watak Samir kerana pada pendapat aku, Samir telah lama dulu jatuh cinta melalui tulisan tulisan Layla dalam novel yang dibacanya.
Watak Layla juga pada aku tidak konsisten dari segi sifat perwatakannya. Layla dalam cerita asal Hikayat Layla Majnun tidak punya kuasa untuk menolak percaturan yang telah ditetapkan oleh ayahnya sendiri maka sepatutnya hidupnya diatur sebegitu rupa tetapi Layla dalam filem ini digambarkan sebagai wanita bekerjaya yang mampu berfikir untuk kepentingan dirinya sendiri. Maka, agak menjengkelkan melihat watak Layla yang pada awalnya digambarkan sebagai wanita yang kuat kemudiannya menjadi lemah dan menurut menuju ke pengakhiran cerita.
Selain itu, aku juga agak terganggu dengan gaya penceritaan filem ini yang sedikit berubah menuju pengakhiran cerita. Hal ini sedikit mengecewakan kerana Monty Tiwa berjaya mengekalkan rasa dan jiwa filem ini hampir keseluruhan filem sehinggalah masuk babak babak akhir yang aku kira sedikit kelakar sehingga sampai satu tahap filem ini seakan akan sudah dirasuki roh filem filem melodrama Bollywood.
Walaupun dengan segala kekurangan terutamanya pada akhir cerita, Monty berjaya mengangkat Hikayat Layla Majnun dalam versinya sendiri. Filem ini boleh ditonton melalui Netflix. 6/10