
“Siapa pun yang menang, kita tetap sama” – Aman.
Prebet Sapu mengangkat kisah orang-orang biasa yang hidup dalam kota besar. Filem ini berkisar tentang Aman dan Bella, dua watak kecil yang hidup di kota Kuala Lumpur yang bergerak pantas tanpa pernah menunggu untuk memberi ruang mereka bernafas. Sebenarnya tiada apa yang menarik tentang kedua dua watak tersebut. Kedua duanya bukan lah ‘hero’ mahupun ‘anti-hero’ dengan perwatakan dan dialog yang kuat. Tetapi inilah yang menjadikan filem ini menarik untuk ditonton kerana ianya tidak terlalu mencuba dan jujur.
Pemilihan warna hitam dan putih juga membantu menaikkan rasa filem ini. Suka ataupun tidak, hitam putih filem ini menggerakkan watak Aman (dan Bella) tanpa gangguan warna. Ada beberapa teori dan pendapat tentang filem hitam putih di mana ada diantaranya menyatakan filem yang bergerak melalui karektor utama, jika dihitam putihkan akan menarik penonton menelusuri perjalanan watak utama tanpa peduli hal-hal estetik lain yang terdapat dalam gambar (rujuk filem Logan dalam versi hitam putih, antara filem hitam putih zaman modern yang dibikin dengan baik). Dalam hal filem Prebet Sapu, mungkin warna hitam putih dipilih kerana watak Aman itu sendiri seorang yang buta warna dan dengan menyingkirkan warna-warna lain kita dapat melihat filem ini termasuk kota Kuala Lumpur melalui sudut pandang Aman.
Kuala Lumpur sebagai sebuah kota diterjemah melalui sudut pandang pelbagai watak yang menumpang dan menaiki teksi haram tua milik Aman. Orang-orang asing melihat Kuala Lumpur sebagai kota ‘syurga’ yang menjanjikan seribu satu peluang sedangkan untuk Aman dan Bella, Kuala Lumpur tidak pernah menjadi rumah untuk mereka. Menariknya, filem ini tidak bersyarah atau cuba menyalahkan sesiapa tentang untung nasib watak utamanya. Bahkan, keluhan Aman melalui dialog “Siapa pun yang menang, kita tetap sama” tidak lebih dari sekadar menyedarkan Bella tentang realiti hidup mereka. Kritik-kritik sosial dalam filem ini kebanyakannya hanya secara subtle melalui babak-babak yang diselit pendek.
Prebet Sapu juga dalam kritik sosial sinisnya tidak mencuba untuk menjadi terlalu kritikal sebaliknya sekadar menayangkan realiti hidup watak-watak di kota besar yang dilupakan selama ini (ataupun tidak menarik untuk dikisahkan). Hal-hal kritis seperti Bella yang merasa terasing di negara sendiri juga tidak disentuh secara berlebihan. Cukup sekadar melalui dua tiga pertukaran baris dialog antara Aman dan Bella tanpa ada falsafah atau pendapat yang cuba diketengahkan penulis skrip (padahal boleh saja penulis skrip memasukkan sebaris dua skrip klise tentang idea menangani masalah perkauman dalam negara misalnya).
Jika filem adalah cerminan realiti, filem ini cerminan yang tepat tentang orang-orang biasa di Kuala Lumpur. Prebet Sapu menyerahkan kepada penonton untuk menilai sendiri dimana silapnya sehingga wujud watak watak seperti Aman dan Bella yang terpaksa melalui apa yang sedang mereka lalui untuk hidup di kota Kuala Lumpur.
Menariknya, pada pengakhiran cerita Prebet Sapu boleh saja memilih untuk menghukum watak Aman dan Bella dan menulis takdir mereka dengan pengakhiran yang maha tragismseakan-akan realitinya watak seperti mereka tidak layak untuk bahagia sebagaimana klise kebanyakan filem filem yang berkisar tentang realiti yang lain. Akan tetapi ia memilih untuk memberi harapan kepada Aman dan Bella kerana ianya bukanlah ‘modern tragedy’. Aman dan Bella hanyalah dua watak dari beratus ribu ataupun berjuta orang yang lemas dalam kota Kuala Lumpur.
Dan hidup mereka belum lagi berakhir hanya kerana tiada tempat untuk mereka di kota besar itu.