Aizat Nuruddin

Siksa Kubur

“Kau tahu kalaupun ada hukuman untuk manusia setelah dia mati, apa yang paling mengerikan? Tergantung apa yang paling kau takutkan.”

Siksa Kubur adalah tentang perjalanan Sita membuktikan yang alam dan siksaan setelah mati itu palsu dan direka-reka sekadar untuk menakutkan orang orang beragama.  Sita menyimpan dendam terhadap ‘agama’ sejak kematian ibu dan bapanya akibat nahas letupan yang dilakukan seorang fanatik agama. Dendamnya lebih membarah saat dia melihat kebobrokan orang beragama yang baik dimata masyarakat tetapi melakukan hal terkutuk dalam diam, dan dibiarkan oleh orang sekeliling ketika dia dan adiknya Adil menetap di sebuah pesantren.

Kritik-kritik sosial yang diunjurkan Joko Anwar ini mungkin akan dianggap memberi imej buruk kepada agama, khususnya islam yang menjadi paparan dalam filem ini. Tetapi harus diingat, Joko Anwar hanya memaparkan realiti disekeliling dimana latar tempat filem ini berada iaitu di Indonesia. Satu hal yang menarik tentang filem ini ialah ianya bersikap tidak memihak dalam mengkritik dua ideologi berbeza tentang agama.

Joko Anwar memaparkan sikap-sikap buruk orang yang beragama, tanpa ada satu watak baik sekalipun yang memakai topeng itu (walaupun boleh dikatakan ustazah yang menolong Sita lari dari pesantren adalah figura ‘baik’ dalam kelompok orang agama tetapi dia juga terlibat mendiamkan diri tentang perilaku jahat disekelilingnya). Dalam filem yang sama, Siksa Kubur turut memaparkan babak penyiksaan yang disaksikan Sita untuk menjawab persoalan-persoalannya tentang kebenaran agama dan alam setelah mati. Entah hal ini sengaja ditulis sebegitu untuk memukul semua pihak ataupun Joko tidak mahu memenangkan mana mana pihak walaupun falsafah dan ideologi filem ini kelihatan bercelaru (disebabkan itu). Hal ini tidak salah kerana filem adalah medium untuk memaparkan dan menyampaikan cerita, bukannya berceramah (walaupun penonton sempat diajak berzikir di pengakhiran cerita).

Siksa Kubur sebenarnya bukanlah sebuah naskah seram yang melibatkan unsur—unsur mistis dan hantu seperti kebanyakan tipikal filem seram Indonesia yang lain. Penampakan-penampakan hantu dalam filem ini boleh disimpulkan sebagai bayangan-bayangan dalam kepala Sita, hanya muncul ketika dia atau Adil berada dalam situasi panik atau di luar sedar. Joko Anwar sengaja membuat separuh masa kedua filem ini bergerak secara melompat-lompat, dari satu babak ke satu babak lain dan kadangkala kelihatan terlalu absurd, ketika dunia normal Sita tiba-tiba berubah menjadi kacau bilau dengan semua watak didalamnya kehilangan kompas moral dan etika. Untuk peminat filem-filem Joko Anwar, sebenarnya hala tuju separuh masa kedua filem ini sudah boleh dibaca.

Filem ini bergerak perlahan dimana penonton akan dibiarkan meneka-neka kemana hala tuju filem ini. Gaya penceritaan sama digunakan oleh Joko dalam karya karya terbarunya termasuk siri Netflix Nightmares and Daydreams. Ada yang akan suka dan ramai juga menganggap penceritaan seperti ini membosankan.

Secara keseluruhan, filem ini adalah satu lagi karya yang baik dalam katalog filem Joko Anwar. Disebalik filem yang bergerak perlahan, kekuatan filem ini terletak pada gaya visual, penulisan skrip, dan scoring acuan Joko Anwar (dan Ical Tanjung untuk sinematografi). Tolak tepi CGI yang kelihatan murahan, set dan production design filem ini juga dibikin sebaiknya. Lakonan para pemain filem ini seperti Faradina Mufti, Reza Rahadian, Christine Hakim, dan Slamet Rahardjo (yang menari di dalam terowong lol) juga sangat baik. Khususnya Reza Rahadian, yang melalui filem ini menjawab persolan “kenapa balik-balik Reza, balik-balik Reza” kerana watak Adil ditangan orang lain mungkin tidak mampu diperankan sebagus itu. 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *