Aizat Nuruddin

Sore: Isteri Dari Masa Depan

 “Hi, aku Sore. Isteri kamu dari masa depan”.

Sore tersenyum saat pertama kali mengenalkan diri kepada Jonathan. Kemudian penonton dibawa mengikuti watak Jonathan yang keliru dan bingung dengan kehadiran seorang wanita misteri dalam hidupnya. Babak demi babak berlalu sambil kita menyaksikan Sore digambarkan sebagai seorang wanita ceria dan riang dalam mendekati dan menempatkan diri dalam hidup Jonathan.

Sehinggalah pada akhirnya filem ini tiba di titik konflik dalam hubungan Sore dan Jonathan, yang berakhir dengan kematian Sore.

Kemudian kita dibawa kembali ke titik mula dan filem ini mulai berjalan melalui watak Sore dengan segala gejolak emosinya yang tertutup (atau sengaja ditutup) ketika fokus penceritaan filem tertumpu kepada watak Jonathan.

Saya meletakkan harapan yang tinggi untuk filem ini kerana pernah menonton serial webnya yang sangat bagus (untuk zamannya) beberapa tahun yang lalu. Saya juga teruja untuk melihat kemana arah tuju Sore versi filem kerana walaupun serial webnya mendapat pujian ramai; premis, konflik dan alur ceritanya mungkin terlalu ringkas untuk dijadikan sebuah filem panjang.

Dan ternyata, Yandy Laurens tidak mengecewakan. Filem Sore mengadunkan genre romantik dan sains fiksyen, dua genre yang sebenarnya telah berulang kali kita lihat. Tetapi ditangan Yandy, premis yang biasa kita tonton dipersembahkan dengan jujur dan penuh jiwa. 

Filem Sore dimulakan dengan babak-babak awal Jonathan yang diiringi runut bunyi sama seperti serial webnya 8 tahun lalu (Forget Jakarta – Adhitia Sofyan). Tetapi melalui babak- babak awal ini kita sudah dapat melihat kematangan Yandy apabila dia lebih berani bermain dengan symmetrical dan centered shot, sama ada secara close up atau wide shot, dengan komposisi yang lebih teratur untuk memberi fokus kepada watak Jonathan.

Kematangan dalam bermain dengan komposisi ini saya kira menjadi peningkatan paling ketara yang membezakan Sore versi filem dan serial webnya.  Jika 8 tahun lalu Yandy lebih banyak mengikut peraturan dengan mengguna pakai ‘rules of third’ dalam komposisi shot-shot filemnya, untuk filem Sore, pemilihan komposisi lebih radikal dengan banyak menggunakan ‘centered composition’ termasuk dalam babak-babak close up, dibantu dengan blocking yang dirancang rapi.  

Yandy juga bijak bermain dengan muzik dalam filem ini. Salah satu kekuatannya yang sudah terlihat dalam karya-karyanya sebelum ini (Keluarga Cemara, Jatuh Cinta Seperti di Filem-Filem, 1 Kakak 7 Ponakan), ialah dia tahu bila muzik atau runut bunyi perlu hadir untuk menghidupkan babak, dan bila sesuatu babak lebih kuat dibiarkan tanpa sebarang muzik. Dengan komposisi visual yang terakam kemas, muzik dan visual dalam filem Yandy bukan sekadar penyeri, tetapi turut sama bercerita.

Kekuatan lain filem ini adalah depth of character watak Sore yang dimainkan oleh Sheila Dara. Sore versi filem adalah Sore yang penuh dengan lapisan emosi. Kita juga dibawa menyaksikan motivasi watak Sore dengan konflik dalaman dan perubahan yang dialaminya sepanjang filem, berbeza dengan watak Sore (yang dimainkan dengan baik oleh Tika Bravani) yang lebih one dimension sepanjang dia berada di masa silam Jonathan. Yandy bijak mengembangkan watak Sore untuk menjadikannya lebih komplek bagi versi filem.

Watak Jonathan juga dikembangkan dengan baik, menyentuh lebih dalam latar belakangnya yang membentuk perkembangan emosi dan sikap Jonathan sepanjang filem. Dion Wiyoko dalam diam dan tenangnya juga berjaya membawa sosok Jonathan dengan luka lama yang tidak pernah sembuh, lebih kompleks dari versi serial webnya. 

Sejujurnya ada titik dimana saya sebagai penonton turut lelah dengan putar kembali yang dilalui watak Sore setiap kali dia gagal mengubah Jonathan. Tetapi hal ini mungkin disengajakan oleh Yandy, supaya kita turut sama merasa lelah dan terhukum dalam mengikuti perjalanan cerita ini.

“Kalau aku harus ngulang seribu kali pun, kayaknya aku bakal tetap milih kamu, deh.”

Dialog yang diucapkan Sore kepada Jonathan kedengaran romantis, untuk Jonathan yang pertama kali mendengarnya. Tetapi untuk Sore yang telah berpuluh malah mungkin beratus kali kembali ke masa lalu, ianya sedikit melelahkan. Hal ini mengingatkan saya tentang Mitos Sissyhus dalam karya Albert Camus. Seperti Sissyphus yang dihukum oleh ‘Tuhan’ untuk kembali menolak batu dari titik mula sebaik sahaja hampir sampai ke puncak, Sore akan tetap kembali ke titik mula setiap kali dia hampir berjaya ‘menyembuhkan’ Jonathan sehingga akhirnya dia menerima takdir untuk ditelan ‘Waktu’.

Dan seperti Sissyphus yang akhirnya menerima hakikat hidup dand merayakan segala prosesnya (walau sia-sia sekalipun), Sore menerima nasib hidupnya ketika sambil tersenyum mengucapkan;

“Hi, aku Sore, istri kamu… selamanya.”

Nota kaki: Babak-babak selepas Sore tidak lagi muncul dalam kehidupan masa lalu Jonathan mengingatkan saya tentang filem ‘Inception’ yang penamatnya pernah menjadi perdebatan hangat satu ketika dahulu, dimana penonton ditinggalkan dengan persoalan tentang realiti sebenar di pengakhiran filem.

Secara logisnya (menurut logika filem ini), Sore kembali ke masa lalu ketika berada di Kutub Utara, satu wilayah tanpa zona waktu kerana semua garis bujur bertemu di satu titik. Dan akhirnya dia lenyap dari hidup Jonathan di masa lalu, entahkan ditelan waktu atau kembali ke masa hadapan.

Kemudian kita dibawa mengikut kehidupan Jonathan (masa lalu) tanpa kehadiran Sore. Seiring waktu berjalan, Jonathan akhirnya kembali menemui Sore di salah satu pameran fotografinya. Persoalannya, semua babak ini berlaku dalam realiti yang sama dimana Sore memilih untuk kembali ke masa lalu atau dalam satu realiti yang lain?  

Ketika Jonathan dan Sore bersalaman di pengakhiran cerita, segala memori mereka di masa lalu dan masa hadapan berputar kembali, seolah-olah menggambarkan bahawa mereka pernah melalui semua itu- mungkin di satu kehidupan yang lain- yang telah mereka tinggalkan.

Tapi sebenarnya tidaklah penting jika mereka masih dalam realiti yang sama atau berbeza, kerana dalam kehidupan mana pun semesta kan tetap menemukan seorang Jonathan dengan Sore.

Trivia: Waktu adalah watak ketiga dikreditkan selepas Dion Wiyoko dan Sheila Dara, menggambarkan seberapa pentingnya peran waktu dalam filem ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *