
Saya mula mengenali sosok bernama Hishamuddin Rais sejak kali pertama menonton filem arahannya yang penuh dengan kritik sosial, Dari Jemapoh ke Manchester. Ada sesuatu yang lain daripada filem tersebut yang menarik minat saya untuk mengenali lebih lanjut siapa pengarahnya. Kemudiannya suara suara Hishamuddin Rais banyak muncul di tahun-tahun mendatang melalui blog peribadinya, Tukar Tiub dan kadang-kadang sebagai penulis bebas di portal-portal berita online. Saya kurang berminat dengan tulisan-tulisan Hishamuddin Rais di Tukar Tiub kerana dia sebenarnya penulis yang baik jika dia tidak menulis dengan gaya senda/gelak terbahak-bahak di Tukar Tiub.
Buktinya melalui buku Surah-Surah Terlarang: Persoalan Nasional ini.
Buku ini membincangkan ‘persoalan nasional’ yang belum terungkai yang menurut Hishamuddin Rais menjadi salah satu punca mengapa sehingga ke hari ini negara kita masih tersekat dengan permasalahan-permasalahan yang berkait dengan kaum walaupun selepas berpuluh tahun merdeka.
Hishamuddin Rais berkali-kali mengulang apa yang ditulisnya bukan sekadar dongeng ciptaannya akan tetapi fakta yang harus didepani, ditelan dan diakui walaupun menimbulkan rasa tidak senang. Sejarah tetap sejarah dan harus diakui kebenarannya. Justeru, pembaca perlu berlapang dada dengan tulisan tulisan di dalam buku ini yang ada kalanya menimbulkan rasa tidak senang kerana menurut Hishamuddin Rais, hal-hal sensitif ini perlu didepani sebagai mana seorang matador mendepani seladang buas untuk merungkai persoalan nasional yang selama ini tidak pernah terjawab.
Bermula dari bab bab awal lagi Hishamuddin cuba menimbulkan persoalan yang selama ini bukan lah asing tapi tidak pernah kita semua temui jawapannya seperti ‘mengapa Melayu di Malaysia tetap terus menyokong sosok pemimpin yang korup?’.
Buku ini ditulis sebelum zaman kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada PRU ke-14 dan persoalan tersebut mungkin boleh dihujah balas sebaik sahaja Pakatan Harapan berjaya merampas mandat pada tahun 2018.
Melayu atau secara keseluruhannya orang Malaysia sudah celik pada PRU ke-14. Kerajaan yang korup telah tumbang dan persoalan ini walaupun mungkin masih relevan kerana sosok Najib Razak itu sendiri masih memenangi kerusi Pekan, tapi sudah ada udara baru dalam landskap politik Malaysia. Rakyat sudah mula celik untuk menghukum kerajaan yang korup.
Malangnya buku ini saya baca di tahun 2021, setahun selepas langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan melalui pintu belakang dan anehnya, kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya Melayu mengambil sikap ‘tak apa’ melihat demokrasi dipijak pijak mati di negara sendiri hanya kerana kerajaan baru yang terbentuk menjual nama kerajaan perpaduan ‘Melayu-Islam’.
Melihat senario ini, ternyata hujah-hujah Hishamuddin Rais melalui buku ini masih terpakai dan belum ada penyelesaian.
Secara ringkasnya, Hishamuddin Rais cuba mencuit beberapa hal yang menimbulkan permasalahan kepada pembinaan negara bangsa Malaysia yang masih lagi rapuh sehingga hari ini. Hubungan antara ‘Yang Lain’ (Bani Cina dan Bani India menurut Hishamuddin Rais) dan Melayu masih menjadi persoalan nasional yang tidak terjawab sejak ‘Yang Lain’ dibawa masuk oleh British berpuluh tahun dahulu. Walaupun ada beberapa perkara yang disentuh di dalam buku ini yang mungkin sedikit kontroversi, Hishamuddin Rais, menurutnya sendiri, hanya menulis dan mengulang kembali fakta sejarah yang harus kita semua akui.
Buku ini pada pendapat saya tidak mempertikaikan atau memperlecehkan mana mana kaum atau agama, walaupun Hishamuddin Rais tetap tidak dapat lari dari biasnya sebagai seorang melayu, yang menulis buku ini melalui kaca mata seorang melayu. Tujuan asal dia hanyalah lebih kepada untuk berhujah dan membuka mata pembaca tentang persoalan nasional yang belum terungkai, yang menjadi sebab kenapa negara kita berada dalam situasi seperti hari ini;
Misalnya pemimpin yang terbukti gagal masih disokong jutaan rakyat atas alasan bangsa dan agama.
Secara umumnya, buku ini merupakan naskah yang baik untuk membuka mata para pembaca tentang asbab terbentuknya pemikiran politik gaya Melayu yang ditanam sejak puluhan tahun dan kerapuhan pembinaan negara bangsa Malaysia. Tapi perbincangan hanya berlegar melalui perspektif kaum (dan agama?) tanpa mengambil kira landskap politik dunia sejak beberapa tahun belakangan ini yang turut sama senada dengan apa yang berlaku di negara kita di mana pemimpin pemimpin dari ‘Parti Kanan’ di serata dunia berjaya mendapat tempat di hati rakyat.
Kesimpulannya, buku ini bukanlah jawapan kepada mana mana persoalan, ianya tidak lebih dari sekadar pintu untuk para pembaca menerokai dan merungkai persoalan nasional yang selama ini tidak pernah terjawab.
Nota kaki: Tiada rating untuk buku ini kerana seperti sosok Hishamuddin Rais itu sendiri yang karektornya pelbagai, buku ini turun naiknya juga begitu.
Anda boleh mendapatkan buku ini di ilhambooks.com