
Filem ini merupakan satu lagi filem berbentuk kritikan terhadap golongan beragama daripada Hanung selepas Perempuan Berkalung Sorban dan Tanda Tanya. Amaran awal diletakkan di permulaan filem sebagai peringatan filem ini boleh mencetuskan rasa tidak senang untuk sesetengah penonton yang menonton.
Sebenarnya filem ini tidak lah terlalu kontroversial. Tolak tepi permasalahan dan kritik-kritik agama (atau lebih tepat, orang-orangnya) yang diselitkan, filem ini tidak lebih dari satu lagi filem ‘hero turn to villain’ yang sebenarnya biasa kita lihat melalui filem-filem Hollywood. Cuma, apabila sosok Kiran yang pada awalnya digambarkan sebagai seorang yang taat beragama akhirnya menjadi seorang pendosa, babak-babak melibatkan Kiran melakukan ‘dosa’ kelihatan tabu untuk ditonton walaupun realitinya orang seperti Kiran itu ada.
Saya sebenarnya menjangkakan lebih dari filem ini, terutamanya dari sudut persoalan-persoalan yang diutarakan watak Kiran sehingga dia akhirnya kecewa dan berpaling dari Tuhan. Tapi malangnya, jangkaan saya meleset. Watak Kiran tak lebih dari seorang manusia egois yang merasakan dirinya berhak mendapat hal-hal baik dari Tuhan kerana telah taat beragama. Titik perubahan dalam hidupnya bermula apabila dia melalui fasa-fasa sukar dalam hidup lalu mula menyalahkan Tuhan.
Titik mula kepada segala permasalahan hidup Kiran apabila suaranya sebagai seorang perempuan direndah-rendahkan oleh golongan beragama apabila dia menolak lamaran seorang ahli agama yang menjurus kepada permasalahan-permasalahan lain yang datang bertimpa-timpa.
Lucunya, dengan sengaja atau tidak, filem ini mempamerkan setelah Kiran berpaling dari Tuhan sekalipun, orang-orang yang bukan golongan agama yang menjadi pelanggannya turut melayannya hanya sebagai perempuan murahan dengan panggilan “Lonte” yang sengaja ditekan beberapa kali dalam beberapa babak filem ini.
Kemuncak kepada fasa pembetontakan Kiran terhadap Tuhan adalah apabila dia lelah dan buntu dengan segala hal buruk yang masih terjadi terhadapnya dan mengungkapkan
“Tuhan, aku ingin mencintaimu apa adanya. Tanpa ditakuti neraka dan diiming-imingi syurga”
Ungkapan ini mengingatkan saya kepada kisah Rabiatul Adawiyah (atau memang mungkin depetik dari syair Rabiatul Adawiyah). Malangnya, Rabiatul Adawiyah bukan lah seorang manusia egois yang mencintai Tuhan sambil mengharapkan balasan yang baik-baik saja dan berpaling dan mencabar Tuhan ketika diberi dugaan sebaliknya.
Kritik-kritik sosial terhadap golongan beragama dalam filem ini mungkin bagus pada waktunya, ketika novel yang merupakan sumber kepada filem ini ditulis pada tahun 2003. Hal-hal jelek yang digambarkan dilakukan orang-orang beragama dalam filem ini masih dapat kita lihat pada tahun 2024 tapi tidak begitu membuka mata atau thought provoking pada zaman dimana realitinya isu-isu ini disedari ada di sekeliling kita. Ketika realiti lebih mengerikan dari fiksyen, fiksyen kelihatan biasa-biasa saja.
Kekuatan utama filem ini terletak pada lakonan Aghniny Hague. Walaupun secara penulisannya saya mengharapkan lebih dari watak seorang Kiran, tetapi harus diakui hitam putih perjalanan hidup Kiran berjaya diperankan dengan sangat baik oleh Aghniny Hague. Ada beberapa babak penentangan terhadap Tuhan dibawakan dengan luar biasa oleh Aghniny, sehingga kita turut merasa dan memahami gelojak emosi Kiran. Dinamik watak Kiran yang polos dan suci menjadi Kiran yang penuh dendam dan ‘kosong’ juga dimainkan dengan baik oleh Aghniny.
Kesimpulannya, filem ini merupakan filem yang baik dengan beberapa masalah yang menurut saya secara peribadi melemahkan kekuatan filem ini. Mungkin saya menjangkakan perdebatan-perdebatan dengan Tuhan disebabkan hal-hal falsafah tentang agama tetapi akhirnya hanya disajikan dengan kisah seorang manusia yang meletakkan kekecewaan terhadap ujian hidupnya kepada Tuhan.
Bukan lah saya meremehkan ujian-ujian yang dihadapi oleh Kiran, tetapi menyalahkan Tuhan atau takdir adalah jalan pintas untuk marah kepada sebuah ketentuan padahal setelah berpaling dari Tuhan sekalipun (atau jika Kiran memutuskan tidak percaya Tuhan misalnya), hidup Kiran akan tetap kacau bilau kerana manusia-manusia jahat dan ujian-ujian akan tetap datang dalam hidupnya.
Hidup tak akan lepas dari ujian yang datang dan pergi, berulang-ulang sehingga akhirnya kita mati. Mungkin Kiran akan lebih tenang dan tidak perlu marah-marah kepada Tuhan jika dia lebih mendalami agama, atau membaca buku-buku falsafah seperti The Myth of Sissypus dari Albert Camus misalnya.